Sunday 6 October 2013

My Story.....Roslaila Puspa Deraman Pt 8

Hari ini saya terbaca di dalam Pancaindera- Mingguan Malaysia kisah Kasih Ibu Membawa Berkat. Tersentuh hati saya kerana saya sudah tidak punya ibu. Ramai anak-anak yang berkecil hati dengan ibu , dengan bapa kerana kita menyangka ibu bapa pilih kasih, sayang kan anak lain dan tidak menyayangi kita. Dulu saya pun mempunyai pendapat yang sama. Saya dilahirkan berkulit agak gelap...mengikut kulit Abah saya...dan dalam adik beradik saya, saya lah yang paling gelap...a.k.a hitam jika dibandingkan dengan dengan yang lain. 'Kegelapan' dan 'kehitaman' saya amat ketara...Saya juga merupakan anak yang paling nakal ....dan yang paling lantang bersuara untuk mendapat perhatian . Di sebabkan tidak mempunyai kereta sendiri, kami terpaksa menaiki bas untuk pulang ke kampung ibu di Tanah Merah. Ibu akan membuat giliran , dan hanya akan membawa seorang sahaja anaknya setiap kali pulang ke kampung untuk mengurangkan belanja tambang bas. Saya akan memastikan saya akan berbuat apa sahaja supaya saya tetap di pilih untuk menemani ibu ke kampung ..., jadi terpaksalah ibu membawa saya setiap kali pulang ke kampungnya. Di sebabkan kulit saya yang agak gelap...saya kurang disenangi oleh keluarga di sebelah ibu. Pernah satu ketika saya terdengar komen ibu saudara saya kepada ibu..." Bakpo gak wak balik hok hite ni sokmo"...bermaksud...Kenapa ibu saya selalu membawa balik anak yang hitam ini...apabila terdengar komen ini, saya menangis seorang diri...pada saat itu saya bernekad untuk menjadi anak yang paling berjaya supaya saya dapat mengubah pandangan keluaraga ibu terhadap saya. Saya memang bernekad....dan saya berazam bersungguh-sungguh. Walaupun umur saya masih kecil pada saat itu, tetapi Allah telah menganugerahkan saya dengan akal yang boleh berfikiran positif. Setiap kali timbul rasa malas untuk belajar...saya akan ingat kata-kata ibu saudara saya yang tidak menyenangi warna kulit saya. Adat resam manusia memang begitu...hanya memuji pada yang cantik di mata ...malahan di kampung saya sendiri, ramai yang akan memberi komen yang sama..".Mak Su Yah ( panggilan orang kampung kepada ibu saya )...bakpo hok ni gelap'  yang bermaksud. kenapa anak yang sorang ni gelap dari yang lain.....Saya masih ingat ...setiap kali ada yang berkata begitu...saya akan berlari kepada Abah...dan menyorok di belakang Abah...dan Abah saya akan berkata..."Meme gelap...ikut Abah...tapi walaupun hite...dipandang manis".... Itu kata-kata arwah Abah yang memberi keyakinan diri untuk saya.

Ibu saya meninggal 2 tahun yang lepas di rumah saya. Ibu yang saya panggil dengan panggilan Ma tidak pernah kenal erti penat. Saya tidak dapat melupakan jasa Ma yang  telah banyak berkorban untuk kami. Walaupun Ma berasal dari bandar, tetapi setelah berkahwin dengan Abah, beliau mengikut Abah berpindah ke kampung . Dan bermulalah kehidupan Ma sebagai orang kampung . Semua kerja beliau lakukan untuk membesarkan kami - 6 orang anak sendiri dan 5 orang anak tiri. Dari menjahit baju , menjual kueh, menoreh getah, mengerjakan sawah hinggalah berniaga kantin - semua kerja beliau lakukan . Walaupun terpaksa membesarkan anak tiri , tetapi Ma menjaga kami semua sama rata sehinggakan pada awalnya saya tidak tahu bahawa kakak-kakak dan abang saya adalah merupakan adik beradik tiri kerana Abah mengahwini Ma selepas kematian isteri pertamanya dan arwah meninggalkan 5 orang anak yang masih kecil. Sementara Ma pula pernah berkahwin tetapi tidak mempunya anak - jadi Ma sangkakan beliau mandul , jadi beliau mengahwini Abah yang telah mempunyai anak 5 kerana beliau ingin menumpang kasih anak-anak tirinya dan ingin berbakti kepada mereka , pada masa yang sama Ma memang sukakan anak-anak. Rezeki di tangan Allah, setelah berkahwin dengan Abah , mereka di kurniakan 6 orang anak....dan saya merupakan anak ke 2 kepada Ma dan Abah. Walaupun Abah dan Ma hidup sederhana, tetapi mereka sangat mementingkan pelajaran anak-anak sehinggakan kakak saya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti, sementara Abang pula berjaya melanjutkan pelajaran ke England dalam jurusan Engineering. Kakak-kakak dan Abang saya merupakan idola-idola saya kerana bagi saya kalau mereka boleh berjaya , sudah pasti saya boleh. Setiap hari saya belajar bersungguh-sungguh kerana cita-cita saya ingin melanjutkan pelajaran ke luar negeri seperti Abang saya. Saya berjaya memasuki sekolah berasrama penuh yang terkenal di Johor Baharu - Sekolah Tun Fatimah . Dan apabila selesai menduduki peperiksan SPM, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di luar negara samada di Australia ataupun di England. Hanya Allah yang tahu bagaimana gembiranya perasaan saya ketika menerima sampul surat yang besar mengandungi surat tawaran itu. Saya berlari mendapatkan Ma yang sedang sibuk menjahit baju . Tetapi betapa hancurnya perasaan saya apabila Ma tidak mengizinkan saya untuk menerima tawaran tersebut...katanya...Banyak lagi Universiti tempatan di Malaysia, kenapa perlu belajar sampai ke luar negara ...Katanya lagi...Bila dah kerja nanti...pergi lah melihat dunia...Ma tak kisah....Jangan sampai dah tak larat pulak nak ke luar negara....Dengan perasan yang cukup hampa dan kecewa, saya menurut kehendak Ma supaya saya menyambung belajar di dalam negara.SubhanaAllah....kata-kata ibu memang benar. Walaupun saya hanya menyambung pelajaran di Universiti tempatan, dan bekerja dengan Syarikat Jualan Langsung  didalam negara, hampir setiap tahun saya ke luar negara, malahan beberapa kali dalam setahun saya terbang....ke seluruh pelusuk Eropah, segenap ceruk negara Amerika Syarikat....Bandar-bandar terkenal di China, Indonesia, Australia, Thailand  dan sebagainya....memang benar kata Ma ...sehinggakan saya memang dah tak larat untuk ke luar negara . Yakin lah... kata-kata ibu memang 'magik'....jangan di bantah...kerana Allah sendiri meletakkan ibu di tahap yang amat tinggi...
Bagi sesiapa yang masih mempunyai ibu dan bapa ....jagalah mereka, kasih lah mereka . Kerana sesungguhnya bila mereka tiada lagi di dunia ini, barulah kita akan terasa kehilangan nya. Bapa saya meninggal 18 tahun yang lepas....semasa saya baru sahaja bekerja dan mendirikan rumahtangga. Ibu saya meninggal disebabkan sakit buah pinggang yang dihidapinya. Bermula dengan penyakit kencing manis, penyakit buah pinggang menyusul kemudian. Pada bulan-bulan terakhir Ma di dunia..Saya dan adik beradik sempat menjaganya ...memandikannya...menyuapkan nya...dan duduk bersama membiarkan beliau bercerita kisah-kisah lama....setiap kali pulang dari kerja, Ma akan minta saya duduk dengan nya ...walaupun dalam keadaan letih...saya gagahi juga ....dan Ma akan mula bercerita...kadang-kadang cerita yang sama...tapi saya anggukkan juga seolah-olah itulah kali pertama saya mendengar cerita itu....Sehinggalah Ma tidak bisa berbicara lagi...kerana buah pinggangnya tidak lagi berfungsi...
Saya terpaksa berhenti di sini...tidak dapat ku tahan air mata ini....rindu yang amat sangat pada ibu yang sangat ku sayangi...Ya Allah, ampunkan dosa kedua-dua ibu bapa ku...tempatkan mereka bersama Kekasih-kekasihMu...Kasihilah mereka ...sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kami masih kecil....Masukkan mereka di dalam golongan yang di terima oleh Mu...Ameen...

Wassalam...

No comments:

Post a Comment